Ilmu itu gemala sakti, Sinarnya cerah cahaya sejati, Asal puncanya lamun didapati, Sukar bercerai sehingga mati.- Pendeta Za'ba

Followers

Friday 4 May 2018

Aktiviti Sastera Siber oleh Kumpulan Sastera Kavyan



Shahirah Aishah binti Mohd Aminodin 
JQB 170013

Bincangkan aktiviti penulis di blog atau laman sosial. 

            Karya sastera ialah  karya yang memuatkan nilai seni. Sastera sering dikaitkan dengan keindahan, terutama dari segi penggunaan gaya bahasanya. Sastera didefinisikan sebagai bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab atau hasil karya seni iaitu karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2013). Perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘castra’ yang bererti kitab suci manakala susastera pula bermaksud seni sastera atau seni bahasa.

Karya sastera biasanya diterbitkan dalam bentuk buku atau melalui medium elektronik. Wujudnya sastera siber iaitu sastera yang dihasilkan daripada media elektronik, beraudio-video, beranimasi serta dipaparkan di skrin komputer. Sastera siber membolehkan penulis atau pengkarya berinteraktif di alam siber tanpa batasan dan tanpa sekatan waktu untuk mengakses karya mereka. Karya sastera tidak boleh dibandingkan dengan karya sastera bercetak. Karya sastera di internet mula aktif sejak awal tahun 2000. Antara medium perantaraan yang sering digunakan oleh pengkarya sastera adalah melalui facebook, blog, instagram dan twitter.

            Perbincangan ini akan memfokuskan aktiviti sastera yang dilakukan oleh Kumpulan Sastera Kavyan di laman blog iaitu http://kavyan.blogspot.my/. Kavyan merupakan istilah Sanskrit dan Malayalam yang membawa maksud sasterawan atau pengarang karya sastera. Istilah karyawan dalam Bahasa Malaysia berasal daripada istilah Kavyan. Kumpulan Sasterawan Kavyan diasaskan pada 22 Ogos 1999 oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India. Nama sementara yang diberikan bagi kumpulan ini adalah KuSasKI iaitu Kumpulan Sasterawan Kaum India. Selepas itu nama ini mengalami beberapa perubahan. Antaranya adalah Persatuan Penulis Kaum India Malaysia, Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia sebelum dimuktamadkan sebagai Kumpulan Sasterawan Kavyan.




Kavyan berpegang kepada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” untuk mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Kumpulan ini sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berkarya tanpa batas kaum. Kavyan merupakan penerima Anugerah Budayawan Selangor 2005 dan berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records dalam acara Baca Cerpen Kavyan yang berlangsung selama 96 jam 32 minit. Kavyan sering mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang sama-sama mencintai bahasa dan sastera kebangsaan seperti Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor.


Blog ini dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB iaitu seorang yang tidak asing lagi dalam dunia sastera Malaysia. Beliau pernah menggunakan nama-nama pena seperti Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak. Beliau mula mendapat perhatian selepas menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Karya-karya beliau pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996, 1997, 1998 & 1999) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (2003). Selain daripada penulisan di blog, beliau juga aktif di laman sosial seperti facebook dan twitter. Melalui pengamatan, dalam blog ini banyak memuatkan bahan-bahan arkib Uthaya Sankar SB dan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Terdapat banyak maklumat aktiviti sastera yang berlangsung dalam Malaysia yang disiarkan melalui blog ini.


Antara aktiviti yang dinyatakan dalam blog ini adalah Bicara Karya Penulis Malaysia. Blog ini banyak menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti sastera kepada masyarakat umum. Maklumat mengenai aktiviti tersebut sangat terperinci bagi memudahkan orang ramai atau peminat karya sastera mengetahui lebih lanjut berkaitan aktiviti yang akan dijalankan. Selain itu, penulis blog ini juga tidak lupa untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemanusiaan seperti sumbangan iklas bagi menjayakan projek komuniti kavyan. Kumpulan Sasterawan Kavyan banyak menganjurkan aktiviti sastera di negeri Perak. Projek Komuniti Kavyan bermula sejak Jun 2016 dalam memperkasakan kanak-kanak, remaja, belia, wnaita dan penduduk mengenai bahasa dan sastera.

Contoh aktiviti yang akan dijalankan adalah program penghayatan seni dan budaya menerusi aktiviti bahasa dan sastera. Program ini bertujuan untuk meningkatkan penghayatan aspek-aspek seni dan budaya pelbagai kaum menerusi beberapa aktiviti santai yang melibatkan penggunaan bahasa Malaysia dan bahan bacaan iaitu karya sastera. Berdasarkan pemerhatian, penulis blog ini hanya memberikan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti sastera yang dianjurkan oleh pihak mereka. Program-program yang dianjurkan mampu membimbing anak-anak muda yang mahu berkecimpung dalam dunia penulisan kerana mereka menyediakan bengkel penulisan, ceramah mengenai format dan teknik menulis dan sebagainya.

Selain daripada program untuk remaja dan dewasa, Uthaya Sankar SB juga membimbing, mengasuh dan memupuk bakat penulis baharu yang mahu terlibat dalam projek penerbitan sebuah antologi cerpen bagi bacaan kanak-kanak. Penulis blog ini juga telah membuat beberapa ulasan mengenai buku-buku sastera. Antara tajuk buku yang pernah diulas adalah Dunia Faksyen Kalki, Namaku Epal Kuning, Cerita Klasik China dan Tentang 120 Filem Melayu.



Beberapa kajian yang dijalankan mengenai karya sastera juga telah diterbitkan dalam blog ini. Sebagai contoh, kajian oleh Dr Krishnan Maniam dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Penulisan Kreatif Bahasa Malaysia dan Penulis Kaum India Malaysia” pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Kedua anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Peking dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Beiling, China pada 8-15 Oktober 2002. Kavyan telah menyiarkan teks beliau dalam beberapa bahagian.

Kesimpulannya, blog yang dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB ini banyak membantu orang ramai yang berminat dengan karya sastera untuk mengetahui aktiviti-aktiviti sastera yang akan berlangsung di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, karya sastera sudah kurang mendapat perhatian daripada orang ramai kerana mereka berasa sastera sesuatu yang sukar difahami. Berdasarkan perbincangan, dapat disimpulkan bahawa penulis menggunakan media sosial seperti blog, facebook dan twitter untuk menyampaikan aktivit-aktiviti sastera kerana kemudahan teknologi dan maklumat yang semakin membangun sekarang memudahkan orang ramai untuk berkongsi maklumat.

Sumber gambar :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgPPbt5UkNRkRG729TQc2gMiO3ufeaLvgMYjlTaiV_zmNu0UfP4rN5MMKrrslKrkaGoBCFElqJt2XOnbrly1gT89KgEuh4KO42R4S-OM-weKDVeRiB2vawZ3zU5qeHxM59mdISvAW-3sClh/s320/Uthaya+Sankar+SB.jpeg

No comments:

Post a Comment