Ilmu itu gemala sakti, Sinarnya cerah cahaya sejati, Asal puncanya lamun didapati, Sukar bercerai sehingga mati.- Pendeta Za'ba

Followers

Friday 4 May 2018

Aktiviti Sastera Siber oleh Marsli N.O

Siti Nor Azira Binti Mohd Ashari
JQB170010


Bincangkan aktiviti penulis di blog atau laman sosial. 

Media komunikasi sangat penting dalam kehidupan masyarakat kini sebagai platform bagi masyarakat berkomunikasi sama ada secara lisan atau tulisan. Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi sekarang, penggunaan media komunikasi seperti internet sangat popular di kalangan masyarakat amnya. Internet menjadi salah satu media yang membolehkan penggunanya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dalam pelbagai bentuk. Penggunaan internet ini digunakan secara meluas meliputi seluruh pelusuk dunia. Dalam bidang kesusasteraan juga, ia berkembang seiring dengan kemajuan teknologi apabila wujudnya sastera siber. Sastera siber menjadi semakin popular apabila terus digunapakai oleh penulis atau pengkarya sastera untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang berkaitan dengan penulisan atau bidang karya sastera. Sastera siber bukan sahaja mengenai penulis, buku, karya tetapi juga meliputi kesemua maklumat mengenai sastera. Sastera siber dijadikan platform bagi penulis atau pengkarya sastera berkongsi penulisan kreatif, kritikan terhadap sastera dan teori-teori yang berkaitan dengan dunia sastera. Adanya sastera siber ini, penulis atau pengkarya sastera boleh berkarya bila-bila masa sahaja dan hasil karya tersebut terus boleh dikongsi dengan pembaca secara mudah dan pantas. Jika dilihat dalam sastera siber, aktiviti blog dan media sosial berkaitan dengan penghasilan karya sastera tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Contohnya, salah seorang pengkarya sastera yang sangat aktif dunia sastera dan juga sastera siber seperti blog dan facebook, iaitu Marsli N.O merupakan seorang penyair dan sasterawan.


            Marsli N.O adalah nama pena bagi Ramli Selamat. Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibu pula negeri Terengganu. Minat menulisnya tumbuh lantaran pengaruh bahan bacaan awalnya seperti majalah Dian serta novel-novel seperti “Pertentangan” karya S. Othman Kelantan, “Athies” karya Achdiat Karta Mihardja dan “Ranjau Sepanjang Jalan” Shahnon Ahmad. Ketika panas suasana perang di Vietnam dan di tanah Amerika berkobar bantahan mengenainya, lahirlah sebuah sajak awal beliau dengan judul “Anak Sisa Perang Vietnam” pada tahun 1970. Ketika itu beliau sedang di tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu. Tetapi secara sungguh-sungguhnya beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1975 dan mulai Mei 1979 baru karyanya berupa sebuah sajak berjudul “Harapan” disiarkan di majalah Dewan Sastera. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah.

Marsli N.O sangat aktif dalam blog beliau yang boleh klik di link berikut http://marslino.blogspot.my/ yang bertajuk Tanah – Air – Api – Angin. Blog beliau bermula aktif pada Mac 2007 sehingga kini dan mempunyai pengikut  seramai 125 orang. Beliau juga mempunyai satu lagi blog rasmi penerbitan karya-karya yang dihasilkan oleh beliau yang boleh diklik di link berikut http://buku-aku-buku.blogspot.my/ yang bertajuk Buku – Aku – Buku. Beliau juga dilihat aktif dalam media sosial seperti facebook yang dikenali sebagai Marsli NO. Jika dilihat beliau adalah penulis dan sasterawan yang suka berkongsi idea, pendapat dan pengalaman beliau dengan pembaca dan masyarakat melalui penulisannya yang boleh dilihat di dalam blog dan facebook beliau. Jika dilihat dalam blog beliau banyak entri berkaitan dengan penulisan kreatif atau idea yang dikongsi dengan pembaca namun berbeza di dalam facebook beliau berkongsi dengan pembaca atau pengikut beliau tentang segala aktiviti yang dilakukan sepanjang kehidupan dan pengalaman beliau selain daripada penulisan kreatif.

            Marsli N.O bukan sahaja aktif dalam aktiviti menulis di dalam blog dan facebook tetapi beliau juga aktif dalam penghasilan buku-buku berbentuk sastera. Jika dilihat dalam blog beliau sangat aktif kerana setiap bulan beliau akan menulis dalam blog beliau dan dikongsi dengan pembaca. Penulisan beliau dalam blog yang terkini adalah pada hari Khamis, 5 April 2018 yang bertajuk Belajarlah Tahu Malu. Kupasan dalam entri tersebut beliau menjelaskan apabila seseorang menulis perlukah mengharapkan orang lain dan perlu rasa malu dalam diri kerana yang menulis adalah diri sendiri bukan orang lain dan kenapa perlukan bantuan orang lain.



Dalam blog tersebut, bukan sahaja dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi idea atau penulisan dengan pembaca tetapi beliau memaparkan hasil karya buku-buku yang pernah ditulis oleh beliau. Secara tidak langsung beliau mempromosikan hasil karya beliau di ruangan iklan. Buku-buku yang dipaparkan itu telah diterbitkan. Dalam blog tersebut, Marsli N.O juga memasukkan nombor telefon kepada sesiapa yang berminat ingin membeli buku-buku yang dihasilkan oleh beliau. Betapa aktifnya Marsli N.O dalam dunia sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku, salah satunya ialah koleksi monolog dan renungan sastera yang bertajuk Surat-Surat Seorang Anonim. Selain itu, beliau juga aktif menulis puisi sebanyak 40 buah puisi yang bertemakan patriotisme dan diterbitkan dalam buku yang bertajuk Terima Kasih, Merdeka. Sebuah buku dihasilkan oleh beliau adalah Malam Hujan dan Oksimoron yang memuatkan 52 puisi. Dalam penulisan ini, beliau telah meraih hadiah saguhati Sayembara Penulisan 2 anjuran ITBM-Pena-BH. Ada lagi satu karya puisi yang ditulis oleh beliau adalah Mencari Nur yang mana dalamnya terdapat kumpulan puisi terbaru yang memuatkan 60 puisi cinta dan syahdu.

Marsli N.O juga menulis drama konvensional dan surealis yang dimasukkan dalam sebuah buku yang bertajuk Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan yang mempunyai empat naskhah drama di dalamnya. Beliau juga telah menghasilkan sebuah buku panduan dan motivasi penulisan kreatif yang bertajuk Jom Menulis. Selain itu, beliau juga menghasilkan beberapa cerpen, iaitu Masihkah Aku Bermimpi, Gunting, Menanti Buraq, Biduan, Demi, Penipu dan Politikus, Badut Dan Sebuah Cermin. Beliau juga aktif dalam penulisan sajak, antaranya yang bertajuk Hanya Kata, Negeri Ini Anak dan Di Negeri Mabok.

Selain penghasilan cerpen dan naskhah drama, Marsli N.O juga menulis novel. Beliau menghasilkan beberapa jenis novel seperti novel kanak-kanak yang bertajuk Mencari Misteri dan novel remaja yang bertajuk Utusan di Daerah Asing. Novel lain yang dihasilkan bertajuk Penderhaka. Dalam pada itu, Marsli N.O juga menghasilkan dua buku Koleksi Nadir, iaitu satu koleksi untuk cerpen bertajuk La Q dan satu lagi koleksi sajak bertajuk Di Atas Mimbar Merdeka.

Jika dilihat setiap entri penulisan dalam blog beliau menjelaskan tentang pandangan beliau terhadap dunia sastera. Beliau suka melontarkan idea secara lantang dan terang-terangan. Bersesuaian dengan slogan beliau “nyatakan sesuatu yang benar, meski pahit”. Oleh itu, boleh dikatakan beliau sangat berbakat dalam dunia penulisan sastera.

            Kesimpulannya, bolehlah dikatakan bahasa Marsli N.O merupakan seorang penulis dan sasterawan yang sangat aktif dalam dunia sastera. Beliau aktif menulis bukan sahaja di dunia yang nyata tetapi juga di alam maya seperti blog dan facebook. Kebanyakan hasil karya yang telah dihasilkan oleh beliau telah diterbitkan. Beliau juga telah banyak mendapat anugerah dan pencapaian yang baik dalam dunia kesusasteraan. Beliau bergerak aktif dalam dunia sastera menjadikan sastera siber sebagai platform untuk berkongsi hasil karyanya dengan pembaca dan masyarakat. Diharap para pengkarya lain juga dapat menggunakan blog dan media sosial dalam menghasilkan penulisan sastera bagi mengembangkan lagi sastera siber di kalangan masyarakat dan dapat dikongsi dengan pembaca lebih cepat dan pantas mengikut arus pemodenan seiring dengan kemajuan sains dan teknologi sekarang.

Sumber rujukan

No comments:

Post a Comment