Ilmu itu gemala sakti, Sinarnya cerah cahaya sejati, Asal puncanya lamun didapati, Sukar bercerai sehingga mati.- Pendeta Za'ba

Followers

Friday 4 May 2018

Aktiviti Sastera Siber oleh Nisah Haron


Nor Atiqah binti Nor Azizan
JQB170004

Bincangkan aktiviti penulis di blog atau laman sosial.          

Penulis blog yang saya pilih ialah penulis tersohor Nisah Haji Haron atau nama penanya, Nisah Haron. Beliau  merupakan seorang peguam dan penulis buku di Malaysia. Namun kini, beliau telah bersara daripada pekerjaan sebagai peguam dan memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa. Beliau dilahirkan pada 20 April 1973 di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik dan telah mendirikan rumahtangga pada tanggal 22 Januari 2000 serta mempunyai tiga anak perempuan.
          
Beliau pernah bertugas sebagai Peguam Syarie di Negeri Sembilan dan mempunyai firma guaman sendiri iaitu Nisah Haron & Co. Selain itu, beliau menjadi penulis separuh masa dengan menulis karya kreatif, ilmiah dan rencana. Beliau telah dikurniakan Pingat Masyarakat Cemerlang (PMC) oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-84 pada 19 Julai 2006.

          Beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan (2001-2003), AJK Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), AJK Kecil Sekretariat Penulis Muda Gapena - Negeri, Perantara rancangan GAPURA UJANA (wadah rasmi PEN di Radio Malaysia Negeri Sembilan mulai Disember 2002 hingga sekarang.

Beliau juga adalah pengasas kedai buku dalam talian, UJANA ILMU. Tujuan utama beliau mengasas kedai buku ini adalah bagi menyediakan buku-buku berkualiti agar mudah untuk pembeli membelinya secara dalam talian.

         

Beliau juga merupakan seorang penulis yang sangat aktif dalam dunia laman blog yang beralamat http://annyss.blogspot.my/. Blog beliau sentiasa dikemas kini dengan pelbagai berita dunia sastera Melayu dan juga luar negara. Malah catatan travelog beliau ke luar negara turut dimuat naik ke dalam laman blog.

Berikut anugerah penulisan terkini yang beliau rangkul sepanjang karier bergelar penulis dan beberapa anugerah lain yang boleh kita ketahui melalui laman blog beliau.
1.     Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 : "Desibel Iman" (kategori cerpen eceran)
2.     Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2015
3.     Kategori Cerpen Eceran: "Cinta Pigafetta", Mingguan Malaysia, 28 November 2015
4.     Kategori Esei dan Kritikan Eceran: "Amanah Selepas Anugerah dan Hadiah", Dewan Sastera, September 2015
5.     Hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017, 11 September 2017, Jakarta, Indonesia
6.     Anugerah Buku Negara 2017: Kategori Kumpulan Cerpen - Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (ITBM, 2016)
7.     Anugerah Sastera & Media Negeri Sembilan 2015
8.     Kategori Cerpen Eceran: "Seorang Nadim pada Waktu Subuh", Berita Harian 2013
9.     Kategori Kumpulan Cerpen: Rindu Seorang Rafik
10.   Kategori Esei dan Kritikan Eceran: "Membina Laluan Sastera Kuala Lumpur - Sastera Sebagai Mercu Tanda Pelancongan" Dewan Sastera, September 2014

PERBINCANGAN
          Jika kita menelusuri laman blog penulis Nisah Haron kita berpeluang mengetahui serba sedikit latar belakang penulis pada menu biodata penuh penulis. Melalui laman biodata juga kita dapat melihat senarai kumpulan cerpen persendirian, novel, buku cerita kanak-kanak, novel bersiri, buku bukan fiksyen, karya-karya beliau yang pernah diterjemahkan seperti novel Pusaka Cendana, Lemang Nan Sebatang, Kawan Baru Hanani serta Persidangan Agung Wanita Klasik. Melalui laman blog beliau juga, kita dapat mengetahui semua jenis aktiviti sastera beliau di Malaysia malah di luar negara seperti di China, Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun dan juga Melbourne.



          Nisah Haron juga antara penulis yang sangat aktif dalam menjalankan bengkel penulisan dan ceramah-ceramah sastera serta penulisan kreatif. Ini menjadikan antara daya penarik beliau yang begitu rapat dengan masyarakat melalui wahana sastera. Saya sendiri juga pernah mengikuti beberapa kali bengkel dan seminar yang dijalankan beliau, menjadikan beliau antara idola saya dalam dunia penulisan dan juga sastera. Karya cerpen saya juga pernah dibedah oleh Nisah Haron dan menjadi salah satu karya yang paling berharga yang saya miliki. Para pelawat blog boleh melihat sendiri begitu banyak bengkel dan seminar yang dilaksanakan beliau sepanjang masa. Minat dan kesungguhan beliau dalam dunia penulisan tiada batasnya.

          Selain itu, kita juga dapat menelusuri catatan kembara beliau ke beberapa buah negara dalam misi meneladani dunia sastera luar negara seperti Itali dan Paris, UK dan Dublin, Ranah Minang, Medan, Kembara Riau, Shanghai China dan juga Palembang. Beliau memudahkan carian catatan beliau dengan menyediakan link setiap catatan dalam satu laman sahaja. Ini memudahkan para pelawat untuk turut bersama mengembara melalui catatan beliau.

          Terdapat juga link menu senarai buku-buku yang diterbitkan dan ditulis oleh beliau malah menjual buku-buku sastera dalam laman ujana ilmu. Setiap buku disertakan gambar kulit buku dan sinopsis pendek untuk pelawat. Malah di bahagian kanan laman blog turut disertakan capaian catatan paling popular bagi memudahkan carian yang lebih baik dan bernas. Beliau juga turut menyenaraikan karya-karya beliau setiap tahun semasa.
         
KESIMPULAN
          Penulis Nisah Haron antara penulis mapan yang bergiat aktif dalam dunia sastera melalui laman blog. Karya dan hasil tulisan beliau hingga kini begitu mendapat sambutan dari semasa ke semasa dan menjadi bahan rujukan utama dalam dunia penulisan. Laman sesawang Ujana Ilmu hingga kini semakin dikenali ramai dan antara laman web pembelian buku yang terlaris.



No comments:

Post a Comment