Ilmu itu gemala sakti, Sinarnya cerah cahaya sejati, Asal puncanya lamun didapati, Sukar bercerai sehingga mati.- Pendeta Za'ba

Followers

Saturday, 14 April 2018

Syarikat Penerbit Sastera - Ujana Ilmu









Ujana ilmu ditubuhkan sebagai saluran kepada penulis dan penerbit sastera di Malaysia untuk mencapai khalayak mereka. Menampilkan buku-buku yang jarang ditemui di kedai buku. Kebanyakan hasil karya penulis-penulis yang berpotensi tetapi memilih untuk menerbitkan buku-buku mereka sendiri. Penulis yang berminat untuk menjual karya atau buku mereka boleh menghubungi Ujana Ilmu untuk memasarkan buku mereka. Ujana Ilmu sentiasa menambah koleksi untuk memudahkan pembaca mencari buku yang mereka inginkan. 
Mana-mana individu boleh menghebahkan aktiviti sastera di ruangan yang disediakan dengan menghubungi  webmaster@ujanailmu.com.my

Ujana Ilmu mengumpulkan pelbagai karya dalam bidang penerbitan di laman web mereka. Selain itu, organisasi ini juga menawarkan buku-buku terpilih untuk pembaca. Laman web ini juga memberi ruang kepada peminat dunia sastera untuk mendapatkan maklumat tentang sastera tanah air. Ujana Ilmu juga bercadang untuk menjadikan laman web ini sebagai tempat berdiskusi dan forum antara peminat sastera dan penulis.


HADIAH SASTERA UTUSAN

Antara jenis buku yang dipasarkan di laman web Ujana Ilmu ialah buku-buku berunsur keagamaan, biografi penulis-penulis sastera, fesyen, Koleksi Buku Hamka, kanak-kanak, kumpulan cerpen, novel, puisi, resepi, pendidikan dan lain-lain.

Buku-buku sastera yang dipasarkan oleh Ujana Ilmu ialah Kalung Bunga (Za’ba), Ensiklopedia Bahasa Melayu (Asmah Hj Omar), Kritikan Sastera Melayu (Mana Sikana) dan Gagasan Persuratan Baru (Mohd Affandi Hassan).
Laman web ini memudahkan pencarian koleksi buku penulis dan direktori penulis sastera seluruh Malaysia dan luar negara. Sebagai contoh, penulis tersohor A. Samad Said, Aminah Mokhtar, Azizi Hj. Abdullah, Habiburrahman El Shirazy dan lain-lain.
Bagi pembaca yang mencari buku-buku keluaran baharu, mereka boleh mendapatkan maklumat terkini di link yang disediakan http://www.ujanailmu.com.my/new_products.cfm
Cara pembelian buku sangat mudah dan efisien. Dalam laman web ini juga disertakan testimonial pelanggan yang telah berurusan dengan pihak Ujana Ilmu bagi proses pembelian buku secara dalam talian. Kebanyakan komen yang diberikan adalah amat memberangsangkan.







Saturday, 24 March 2018

BIJAKSANAKAH AWANG SI MALIM?



BIJAKSANAKAH AWANG SI MALIM?

Awang Si Malim memaparkan kebijaksanaan seseorang dalam sebuah watak merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan. Kebijaksanaan ini diberikan kepada watak Awang Si Malim untuk memberi pengajaran kepada masyarakat tentang bagaimana untuk memilih guru yang alim dan teman bestari. Kebijaksanaan merupakan kepandaian menggunakan akal fikiran dan kecekapan berfikir.
Kebijaksanaan Awang Si Malim boleh dilihat melalui sifatnya yang celik akal, seorang yang rajin dan mudah belajar sesuatu perkara. Kebijaksanaannya turut dipamerkan melalui sifat santun dan peribadi yang molek menjadikan sesiapa sahaja yang melihat tertarik dan ingin mendekati Awang Si Malim.
Awang Si Malim juga menunjukkan kebijaksanaannya dengan menguji anak-anak gadis supaya memasak uncang yang bercampur beras, garam dan jagung yang dibekalkan oleh ibunya dibawa mengembara untuk mencari teman bestari.
Kebijaksanaan Awang Si Malim juga boleh dilihat apabila dia sudah lama mengembara namun masih belum berjumpa guru yang alim. Dia teringat pesan tuk guru untuk menguji guru yang dijumpainya supaya menyembelih telur ayam sekiranya dia ingin tahu guru tersebut layak menjadi gurunya.



Awang Si Malim juga bijaksana apabila memilih sebuah rumah sederhana yang didiami sebuah keluarga yang baik hati. Awang Si Malim juga mengetahui bahawa tuan rumah itu berilmu berdasarkan kitab-kitab yang terdapat di dalam rumahnya.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa watak Awang Si Malim menunjukkan bagaimana seseorang perlu merantau untuk mencari ilmu dan pengalaman dalam hidup, bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Apabila kita berusaha dengan tekun dan sabar, maka kita beroleh kejayaan dan dihajati akan terlaksana.


Filem Musang Berjanggut arahan P.Ramlee antara filem yang memaparkan beberapa babak yang sama dalam kisah sastera rakyat Awang Si Malim.

Sumber video : Youtube
https://www.youtube.com/watch?v=MyW5o6l-fsY

Thursday, 15 March 2018

Telah Bermula Suatu Peristiwa





Pagi ini sebentar di sini
Bersama teman-teman
Berbicara
Sambil melewati naskah-naskah lama
Pusaka tercinta

Lalu segera terkenang
Tun Seri Lanang
Abdullah Munshi
Lewat zaman silam
Kebakaran fame
Untuk merasakan duka bangsa
Yang kehilangan

Pertemuan ini
Asas suatu perjalanan yang panjang
Yang mengukir peristiwa bererti
Curahan idea dan perasaan
Pengalaman dan daya kreatif
Generasi muda sasterawan dan pemikir
Yang gigih berbakti
Bersama ilmu
Bersama iman

Seperti angin dan deru ombak Selat Melaka
Kesungguhannya memberikan makna
Terus hidup bersama alam
Memancar kebenaran




Ditulis dan dideklamasikan oleh:
Mokhtar Yassin (18 Februari 1984)

Image result for Mokhtar Yassin


Muzium Sastera, Melaka

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Mungkin ramai yang masih tidak tahu tentang kewujudan muzium sastera yang terletak di Melaka. Muzium ini terletak di dalam Kompleks Muzium Stadhuys. 

Muzium ini dibina untuk mempamerkan dan menggalakkan penghayatan masyarakat terhadap perkembangan dunia sastera dari dahulu hingga sekarang. Selain itu, untuk memberikan penekanan kepada sejarah penulisan bermula dari awal penulisan Cerita Rakyat, Sejarah Melayu dan Hukum Kanun Melayu sehingga ke perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden.

Pameran di muzium ini memberi fokus kepada tokoh-tokoh sasterawan dari Melaka bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah zaman selepas kemerdekaan. Antara tokoh yang dinyatakan ialah Tun Sri Lanang (era Kesultanan Melayu), Munshi Abdullah (zaman transisi barat), Syed Sheikh Al-Hadi (zaman reformasi Islam sebelum merdeka)dan Datuk A. Samad Said (tokoh zaman selepas kemerdekaan) dan beberapa penulis Melaka.

Bahan-bahan pameran terdiri daripada lukisan yang menunjukkan peristiwa penting berdasarkan Sejarah Melayu serta beberapa koleksi naskah manuskrip asal tulisan tangan dari seluruh dunia.
Penulisan berbentuk tradisional merangkumi pantun, gurindam, nazam dan puisi juga turut dipamerkan di muzium ini. 

Harga tiket :
Dewasa           = RM5
Kanak-kanak = RM2

Perkara yang paling menarik tentang tiket ini adalah pengunjung boleh memasuki 5 muzium dan 1 galeri dengan menggunakan satu tiket.

            1. Muzium Sejarah dan Etnografi
            2. Muzium Pendidikan
            3. Muzium Sastera
            4. Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka
            5. Muzium Pemerintahan Demokrasi
            6. Galeri Cheng Ho

Waktu operasi adalah dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang (Isnin - Ahad)

No. Telefon : 06-2841934